Friday 10 January 2014

HORMAT vs DARJAT

Assalammualaikum

Menjadi kebiasaan setiap pagi hari bekerja, saya keseorangan di rumah dengan ditemani dua buah laptop iaitu milik saya dan suami. Ditambah dengan kehadiran huddle Yes Proton sebagai penyeri hari saya walaupun adakala ia berfungsi bagaikan tidak cukup oksigen pernafasan. Saya melakukan aktiviti saya seperti biasa, buat itu dan buat ini. Menghabiskan masa santai saya sebelum saya menjengah dalam kehidupan yang sibuk beberapa hari lagi tetapi semua itu saya lakukan sekejap sahaja bagaikan ada yang tidak kena. 

Maka dengan itu, saya membuat keputusan masuk ke bilik stor untuk menggeledah kotak-kotak yang tersusun di dalam stor. Kebanyakkan kotak-kotak tersebut dipenuhi dengan buku-buku milik suami. Geledah dan terus  menggeledah, memilih dan terus memilih akhirnya saya berminat dengan satu buku bertajuk The 7 Habits of Highly Effective People penulisan Stephen R.Covey.  Kemudian saya menyusun semula kotak-kotak yang  berjaya saya geledahi tadi. Pintu bilik stor ditutup dan saya menyusun langkah untuk kembali ke tempat lepak biasa saya di rumah iaitu di ruang tamu.

Buku yang berjaya menambat hati, saya selak helaian demi helaian. Baca hanya sekali lalu saja setiap helaian tetapi tidak kesemua helaian buku. Tiba-tiba selakkan tersebut terhenti dan saya merenung saja pada helaian selakkan terakhir saya. Mata pada helaian tersebut tetapi minda saya jauh berlari. Sudah pastinya minda saya berada pada aras bawah sedar pada ketika itu. 

Minda saya membayangkan buku berkulit ungu di salah satu kotak dalam stor. Di atasnya terdapat tulisan Rich Dad’s. Dalam hati saya berkata, banyak juga koleksi buku penulisan Robert T. Kiyosaki milik suami saya. Saya kurang berminat kerana penulisan tersebut banyak menyentuh mengenai krisis ekonomi semasa. Tetapi buku berkulit ungu tersebut juga mendominasi bayangan saya . 

Bayangan buku berkulit ungu yang terpampang wajah penulis pasak tersenyum persis Jackie Chan tersebut bermain di minda tetapi bukan hanya bayangan kosong malahan bayangan tersebut diiringi dengan banyak persoalan di ruang legar minda saya. Perkataan “Rich” menghantui fikiran saya. Kekayaan dan harta. Orang berada dan orang tidak berkemampuan. Saya persatu persoalan timbul sehingga senak minda logik saya berfikir. Yang pasti persoalan tersebut berkaitan manusia dan kehidupan. Persoalan tersebut datang di minda bawah sedar saya bersama emosi. Peristiwa di pusat membeli-belah tempoh hari turut singgah memacu persoalan saya.
 
Kenapa manusia memandang kepada darjat, pangkat, rupa, harta dan sinonim dengannya untuk memberi penghargaan atau penghormatan kepada seseorang? 

Kadang-kadang saya gemar memerhatikan keadaan sekeliling saya. Contonya, jika saya berada di pusat membeli-belah. Memerhatikan gelagat dan karenah orang disekeliling saya sama ada sedang leka memilih barang, makan, beratur menunggu giliran mahupun sedang bekerja.

Tempoh hari saya berpeluang ke pusat membeli-belah. Setibanya di pusat membeli-belah tersebut suami menyatakan hasrat untuk ke tandas. Mahu tidak mahu saya perlu juga menunggunya dilokasi yang berdekatan dengan tandas pusat membeli-belah tersebut sementara suami melegakan sistem pembuangan dalam tubuhnya. Asyik sedang leka memandang sekeliling, pandangan saya tertarik pada satu booth jualan langsung barangan elektrik. Saya hanya memerhatikannya dari jauh saja. Memerhatikan gelagat jurujual dan orang ramai.

Kemudian telah datang seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an. Lelaki tersebut hanya berpakaian biasa, bertshirt ,berseluar traksuit juga hanya berselipar. Apa yang saya dapati jurujual tersebut acuh tidak acuh  saja melayan lelaki tua tersebut walaupun sesungguhnya daripada pemerhatian saya lelaki tua tersebut sangat berminat dengan barangan tersebut. Apa yang dapat saya simpulkan pada pemerhatian saya ketika itu jurujual tersebut hanya tertarik untuk mempromosi barangan tersebut kepada orang ramai yang mempunyai penampilan kerana selama beberapa minit saya disitu, jurujual tersebut hanya menyapa orang ramai yang mempunyai penampilan menarik. Mungkin jurujual tersebut merasakan orang yang berpenampilan menarik berwang juga sebaliknya. Mungkin ini satu pemerhatian yang kebetulan saja. 

Sudah menjadi lumrah hal tersebut benar-benar berlaku dalam kehidupan realiti kita. Mungkin anda yang sedang  membaca cerita saya ini juga pernah mengalaminya sendiri? Saya juga tidak terlepas dari kekhilafan tersebut. Adakah orang  yang disekeliling kita mengaku sebagai barisan menteri kabinet, kerabat di raja baru penghormatan tersebut perlu diberi? Adakah peminta sedekah di jalanan tersebut tidak layak untuk menerima layanan baik daripada kita? Apakah perlu golongan yang kurang bernasib baik ini dilihat hanya pada pandangan sebelah mata kita saja? Apakah anugerah senyuman yang Allah anugerahkan itu terlalu mahal untuk disedekahkan kepada orang? Adakah polisi agar memberikan layanan buruk kepada golongan yang tidak bernasib baik ini telah wujud?

Saya tegaskan, penghormatan di sini bukanlah suatu penghormatan yang perlu disanjung dan diangkat darjatnya. Cukuplah sekadar memberi layanan yang baik tidak kira apa jua urusan kita sebagai tanda kita menghargai orang disekeliling kita. Walaupun orang disekeliling kita itu tiada pertalian darah sekalipun. Berilah layanan yang baik kepada orang keliling kita tidak kira status atau darjatnya. Pasakkan senyuman agar jalinan uhkwah sentiasa terjalin. Waktu terus berputar sepanjang zaman sama seperti kitaran kehidupan terus berlaku. Jangan merendahkan siapa pun dalam hidup ini. Bukan kerana siapa mereka, tetapi kerana siapa diri kita di muka bumi milik Allah ini.

Dalam Surah Al-Hadid ayat 22-23 ada menyebut:

"Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri."

Wallahu’alam. Bak kata Prof Dr Muhaya, jom audit diri.

p/s: Penulisan ini bertujuan dijadikan sebagai peringatan bersama. Inshaa Allah.



No comments:

Post a Comment